Kesan Bertatu Terhadap Ibadat

Saya nak berkongsi sedikit malumat yang saya perolehi mengenai 'Tatu' yang kini menjadi kegilaan orang ramai dan dianggap satu trend pada masa kini. Mungkin remaja-remaja sekarang beranggapan..tatu merupakan satu ikutan fesyen yang mesti dibuat. Tetapi pernahkah kita berfikir mengenai kesannya terhadap amalan ibadah kita. Pada zaman ini, banyak perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak orang Islam umpamanya dengan menjadikan tatu itu sebagai perhiasan. Ditakuti ada belia remaja yang terpengaruh dengan gejala ini.

Kesan Bertatu Terhadap Ibadat
(Dengan na`ma Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Tatu ialah tanda pada badan yang dibuat dengan melarik,
mencucuk dan memasukkan warna. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah bahawa tatu itu ialah mencucukkan jarum atau sebagainya di belakang telapak tangan, pergelangan tangan, bibir atau selainnya di tubuh badan sehingga darah mengalir. Kemudian diisi tempat itu dengan celak atau kapur tohor (kapur hidup) sehingga menjadi hijau.
Tatu pada kebiasaannya dijadikan sebagai perhiasan atau adat atau kerana tujuan keagamaan dengan mengukir gambar-gambar, lambang, nama kumpulan atau sebagainya di tubuh badan.

Namun pada hakikatnya, tatu itu boleh memberi kesan yang buruk
kepada kesihatan orang yang bertatu. Kesan-kesannya adalah
seperti berikut:-
(i) Alahan pada jenis pigmen atau pewarna yang digunakan.
Simptom seperti bengkak dan gatal-gatal pada bahagian yang
mempunyai kesan merah akibat mentatu.
(ii) Jangkitan penyakit Hepatitis B.
(iii) Jangkitan HIV dan Hepatitis C boleh berjangkit sekiranya
jarum yang tercemar digunakan. Kesukaran dan kesakitan dalam menghilangkan kesan tatu itu juga tidak dapat dinafikan.

Antara kaedah bagi menghilangkan tatu
tersebut adalah seperti berikut:-
(i) Menggunakan laser yang boleh menghuraikan pewarna
kepada partikel-partikel kecil yang boleh dicerna oleh kulit.
(ii) Excision melibatkan pemotongan bahagian kulit yang
mempunyai tatu.
(iii) Salabrasion yang menggunakan air garam untuk disapukan ke
atas tatu bagi merosakkan kulit.

Hukum Bertatu
Melakukan tatu itu dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ia adalah haram ke atas orang yang minta dibuatkan tatu dan orang yang membuatkan tatu dan ia tergolong dalam dosa-dosa besar.perempuan yang bertatu sama ada orang yang membuat tatu ataupun orang yang minta dibuatkan tatu semata-mata kerana kecantikan adalah dilaknat oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dan RasulNya. Larangan bertatu itu tidaklah terbatas kepada perempuan sahaja bahkan kepada lelaki juga. Adapun jika kanak-kanak atau orang gila dibuatkan tatu kepada mereka, maka orang itu akan menanggung dosa perbuatannya, sementara kanak-kanak atau orang gila tersebut tidaklah berdosa disebabkan belum ada taklif(kewajipan mentaati suruhan dan larangan agama) ke atas mereka

Tatu Di Tubuh Badan Adakah Wajib Dihilangkan?
Bahawa hukum bertatu itu adalah haram. Namun bagaimana pula
hukum menghilangkan tatu di tubuh badan, adakah ia wajib
ataupun tidak? Dalam perkara ini ada beberapa keadaan seperti
berikut:-
(i) Orang yang mukallaf (baligh dan berakal) bertatu dengan
kehendak atau kerelaannya. Jika dia dapat menghilangkan tatu
itu dengan perubatan atau dengan cara pembedahan walau
menurut doktor ia mendatangkan mudharat seperti hilang
anggota atau fungsinya atau menyebabkan keadaan anggota
zahirnya buruk dan jelik akan tetapi dia tidak takut akan
mudharat tersebut, maka wajib dia menghilangkan tatu itu.
Adapun jika dia takut akan mudharat tersebut, maka tidaklah
diwajibkan ke atasnya menghilangkan tatu itu dan dia tidak
akan berdosa setelah dia bertaubat.
(ii) Orang yang dipaksa untuk bertatu bukan kehendak atau
kerelaannya adalah tidak diwajibkan dia menghilangkan tatu
di tubuh badannya itu.
(iii) Orang yang belum ada taklif ke atasnya seperti kanak-kanak
dan orang gila. Jika seseorang itu bertatu ketika keadaannya
belum ada taklif maka tidaklah diwajibkan ke atasnya
menghilangkan tatu tersebut. (iv) Orang kafir yang memeluk agama Islam. Jika dia bertatu
sebelum Islamnya adalah diwajibkan menghilangkan tatu
tersebut, sebagaimana keadaan orang yang mukallaf bahagian
(i) di atas.

Kesan Tatu Dalam Ibadat
Adapun kesan kepada peribadatan orang yang bertatu itu, antara
lain seperti berikut:-

(i) Bersuci
Orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia bersuci sedang tatunya belum hilang maka tidak akan terangkat hadatsnya itu. Ini kerana anggota-anggota yang
ditatunya itu mengandungi najis disebabkan darah yang bercampur dengan celak tatu tersebut. Adapun orang yang tidak diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia bersuci maka terangkat hadatsnya. Ini kerana anggotanya yang ada tatu itu dimaafkan najisnya.
(ii) Sembahyang
Orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia mengerjakan sembahyang sedang tatunya belum hilang maka tidak sah sembahyangnya itu. Demikian juga tidak sahapabila
dia menjadi imam. Adapun orang yang tidak diwajibkan menghilangkan tatunya,
adalah sah sembahyangnya dan dia boleh menjadi imam.
(iii) Urusan Jenazah
Apabila orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya itu meninggal dunia sebelum sempat dia menghilangkan tatunya, maka tidak wajib bahkan haram dihilangkan tatu mayat itu. Ini kerana bagi menjaga kehormatan mayat tersebut dan kerana
kewajipannya menghilangkan tatu itu bagi mengerjakan
sembahyang telahpun luput.
(iv) Kesaksian
Salah satu syarat saksi itu hendaklah mempunyai sifat al-‘adalah iaitu tidak fasiq. Orang yang fasiq itu adalah orang yang melakukan dosa-dosa besar atau berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Oleh yang demikian, orang yang fasiq tidak
diterima persaksiannya melainkan setelah bertaubat menyesali perbuatannya itu.
(v) Wali nikah
Salah satu syarat wali nikah itu hendaklah juga mempunyai sifat al-‘adalah iaitu tidak fasiq. Oleh yang demikian, orang yang fasiq tidak sah menjadi wali nikah melainkan setelah bertaubat.