Cacar Air



Masa darjah 5 dulu... aku terkena penyakit Cacar Air ni pun sebab jangkitan dari rakan kelas yang baru sahaja sembuh dari penyakit ini. Bayangkanlah.. kelas aku yang terkena penyakit ini sekali 5 orang sekali gus. Biasa dan gatal penyakit ini...tak boleh dicakap ...gatalnya .. Masyaallah hanya Allah yang tau. Bab makan memang le seksa... nak menangis dibuatnya.

Cacar air atau cengkering (Varicella zoster) dan juga dikenali sebagai Chicken Pox ialah penyakit merebak. Ia adalah virus sama yang menyebabkan kayap. Ia merupakan penyakit yang senang berjangkit dan boleh merebak dari seorang ke seorang. Seseorang yang dijangkiti virus ini akan mengalami demam dan timbul ruam lepuh (blisters).Ia berlaku pada semua peringkat umur, biasanya pada kanak-kanak. Ia lebih teruk sekiranya berlaku kepada orang dewasa. Penyebaran adalah melalui sentuhan atau titisan cecair daripada orang dijangkiti. Penyebaran juga berlaku melalui bahan tercemar dengan cairan cacar seperti pada pakaian atau tuala dari penghidap cacar air. Pengidap cacar air boleh merebakkan virus sehingga 48 jam sebelum ruam timbul dan boleh terus menjangkitkan orang lain sehingga cacar air menjadi kering dan berkeruping. Kayap (herpes zoster) ialah infeksi dari virus yang sama dan berlaku pada masa hadapan (umur dewasa).

Bagaimanakah penyakit cacar air merebak?

Ianya merebak:

* Melalui udara bila seseorang yang menghidap cacar air itu mengalami batuk atau bersin.

* Dengan menyentuh cecair yang keluar dari lepuh (blister) cacar air.

* Dengan menyentuh benda/permukaan yang dibasahi oleh cecair daripada lepuh tersebut.

Apakah tanda-tanda dan gejala?

1. Mengalami demam dengan bintik-bintik merah pada kulit. Kawasan bintik-bintik merah melibatkan muka, kepala, dada, belakang dan akhirnya seluruh tubuh. Ruam cacar air akan timbul kurang dari 2 minggu selepas jangkitan berlaku. Kebanyakan kanak-kanak mengalami jangkitan yang tidak serius. Namun jangkitan cacar air bagi orang dewasa boleh menjadi lebih serius.
2. Bintik-bintik merah yang baru akan mula timbul dalam beberapa hari dan bilangan boleh mencecah ratusan biji dan kemudian membentuk gelembung berisi air. Bila gelembung berisi air pecah ia menjadi kering dan berkeruping.
3. Rasa gatal sederhana atau teruk menyebabkan pesakit akan menggaru dan akhirnya menyebabkan parut.
4. Gejala lain ialah sakit perut, tiada selera makan, sakit kepala, rasa tidak selesa, letih dan terganggu. Penghidap juga ada batuk ringan, hidung berair 2 hari sebelum bintik-bintik merah timbul.

Kumpulan berisiko untuk jangkitan serta mendapat komplikasi teruk:

1. Bayi baru lahir, yang mana ibu tidak penah mengidap cacar air atau pelalian cacar air
2. Ibu mengandung menyebabkan kesan pada bayi dalam kandungan seperti tak cukup berat dan kecacatan anggota boleh berlaku. Sekiranya ibu mengidap cacar air seminggu sebelum kelahiran, ia boleh menyebabkan jangkitan serius serta membahayakan nyawa pada bayi
3. Orang yang lemah atau kurang daya tahan akibat penyakit lain seperti HIV, barah sumsum tulang (leukemia) dan pesakit kanser dalam rawatan kemoterapi.
4. Orang yang mengambil steroid berpanjangan
5. pesakit asma dan sindrom nefrotik
6. Penghidap sakit radangan kulit (inflammation eczema)

Komplikasi akibat cacar air :

* Jangkitan kulit - menjadi lebam merah, bengkak dan sakit
* Dehidrasi akibat muntah berterusan atau tidak minum air. Tanda dehidrasi ialah kurang kencing, mulut kering dan dahaga
* Kerosakan otak akibat keradangan otak. Tanda-tanda radang otak ialah sakit kepala teruk, keliru, mudah marah, leher keras dan belakang mengeras serta tidak sedarkan diri
* Radang sendi - sendi menjadi sakit, kejang dan bengkak
* Jangkitan paru-paru (pneumonia)- tanda-tanda seperti batuk, susah bernafas, pernafasan berbunyi (wheezing) dan sakit dada.