Tahun hijrah mempunyai dua belas bulan dan purata
kiraan hari bagi setiap bulan adalah dua puluh sembilan
atau tiga puluh hari tetapi lazimnya tidak dalam turutan
yang tetap. Jumlah hari dalam bulan Islam adalah antara
perbezaan besar dengan bulan Masihi. Terdapat dua
sistem iaitu Rukyah dan Falaq untuk menentukan jumlah
hari dalam bulan Islam.
Bulan Safar adalah bulan kedua dalam perkiraan bulan- bulan
Islam. Safar ertinya kosong dinamakan Safar kerana
dalam bulan ini orang-orang Arab sering meninggalkan
rumah mereka menjadi kosong kerana melakukan serangan
dan menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka.
Antara peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam
sejarah Islam pada bulan ini ialah Peperangan Al-Abwa
pada tahun kedua Hijrah, Peperangan Zi-Amin, tahun
ketiga Hijrah dan Peperangan Ar-Raji (Bi’ru Ma’unah)
pada tahun keempat Hijrah.
Menyentuh tentang bulan Safar, umat Islam sekarang
mungkin telah meninggalkan amalan-amalan karut yang
diamalkan oleh generasi lalu dalam bulan tersebut seperti
mandi Safar. Kesedaran ini mungkin timbul daripada
dakwah dan maklumat tentang Islam yang diterima dari
masa ke semasa.
Sesetengah orang Islam yang jahil menganggap bulan
Safar adalah bulan turunnya bala bencana dan mala
petaka. Berdasarkan kepercayaan ini mereka telah
melakukan beberapa amalan bidaah dan khurafat untuk
mengelakkan perkara tersebut. Suatu masa dahulu orang
melayu yang penuh dengan kerpercayaan dan amalan- amalan
tradisi telah mangamalkan beberapa amalan yang
jelas bertentangan dengan Islam. Amalan ini menjadi
popular dan sering diamalkan suatu ketika dahulu
antaranya ialah:
• Upacara mandi beramai-ramai dengan kepercayaan
perbuatan berkenaan boleh menghapuskan dosa dan
menolak bala. Amalan ini dinamakan mandi safar.
• Mempunyai kepercayaan pada bulan Safar tidak boleh
mengadakan kenduri kahwin kerana beranggapan bulan
ini adalah bulan bala dan pasangan yang berkahwin
pada bulan ini tidak akan dikurniakan cahaya mata.
Ternyata amalan seperti ini bercanggah dengan syariat
Islam dan boleh merosakkan aqidah. Sesuatu musibah atau
bala adalah ketetapan dari Allah dan amalan manusia
adalah menjadi asbab turunnya bala atau bencana.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah At-
Taubah ayat 51 yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali
akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang
telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung
yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan
itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orangorang
yang beriman bertawakal.’’
Menganggap bulan Safar sebagai bulan pembawa
bala dan musibah serta mengadakan amalan-amalan
khurafat jelas satu fahaman yang salah. Bagaimana
boleh Allah SWT yang Maha Penyayang kepada
hambaNya mengaturkan hari yang penuh kemuliaan
dan hari kecelakaan pada sesuatu masa tertentu.
Bahkan amat bercanggah dengan sifat Allah yang Maha
Penyayang itu sendiri. Menyandarkan kecelakaan
pada bulan Safar ternyata satu fahaman yang boleh
mengheret manusia kepada ancaman syirik.
Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa orang
yang mempercayai keburukan itu datangnya daripada
sesuatu, bukan daripada Allah SWT adalah syirik,
sebagaimana Baginda bersabda yang maksudnya :
“Menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah
syirik, dan tidak termasuk dalam golongan kami
melainkan (orang-orang yang beriman) sahaja,
dan Allah akan menghilangkan syirik itu dengan
tawakal.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Sebagai umat Islam kita perlu meneliti sehingga benarbenar
tahu samada sesuatu amalan itu dibenarkan atau
ditegah oleh agama. Umat Islam perlu berhati-hati dan
berwaspada sebelum menerima dan mengamalkan
sesuatu amalan. Amalan khurafat dan bidaah boleh
merosakkan aqidah serta menjauhkan kita daripada
rahmat Allah. Hanya kerana sedikit kesilapan, akan
mengakibatkan kita terjerumus ke dalam bahaya
syirik.